Monday 2 June 2014

Cinta




Jika diukir dengan segala bahasa
Cinta itu masih tidak ada sastera buatnya,
Jika dilukis dengan segala warna
Cinta itu masih tidak ada citra baginya.

Tidakkah kerna cintakan Tuhan
Insan sanggup berkorban dan terkorban ?
Tanpa cinta lenyaplah agama.
Tidakkah kerna cintakan anak
Ibu lupakan segala kehendak ?
Tanpa cinta pupuslah manusia.

Tidakkah kerna cintakan kekasih 
Insan sanggup hidup tersisih ?
Tanpa cinta muramlah suasana.
Tidakkah kerna cintakan negara
Rakyat sanggup hidup sengsara ?
Tanpa cinta hapuslah segala warga.

Dari akar mekar rasaa cinta
Lahirlah jiwa mesra nan manja
Dari akar mekar rasa cinta
Bahagia dan sengsara menjelma
Dari akar mekar rasa cinta
Munculnya tawa dan air mata.
Cinta jika ditentang halang
Tebentanglah selendang perjuangan
Semaraklah gendang kebangkitan

Cinta itu makhluk Tuhan
Penuh keajaiban
Penuh kehairanan
Penuh kenikmatan
Penuh kesakitan
Penuh kesyahduan
Penuh keharmonian
Namun cinta tetap keprluan
Tanpa cinta pincanglah alam

-Dr.Maza-

Cinta merupakan sesuatu yang subjektif yang memerlukan pertimbangan dan neraca masing-masing untuk menilai mkna cinta menurut pemahaman sendiri.
Cinta juga merupakan satu aspek yang sangat luas yang tidak hanya terhad terhadap perasaan di antara 2 jantina.Ianya juga meliputi cinta kapada sang pencipta, alam keluarga dan kerjaya.
Mempunyai perasaan cinta merupakan fitrah manusia yang mana tanpa cinta maka tidak wujudlah manusia di muka bumi ini.

Cinta yang sebenarnya adalah cinta yang menguatkan dan bukannya melemahkan.Maka dari itu carilah cintamu sendiri yang hanya kau yang tahu makna sebenarnya.

Cinta mampu membawa seseorang terbang hingga ke langit ketujuh
Atau menguburkan dia tujuh kaki ke dalam tanah.
Mungkin sebab itu ramai yang memilih untuk berpijak di atas tanah
Sambi tersenyum melihat burung terbang di jagat raya









Sunday 1 June 2014

iqra'

"Apakah orang yang tidak bersetuju dengan parti kanan menyebabkan dia secara automatik dianggap menyokong parti kiri ? apakah mereka yang menentang golongan kapitalis akan dianggap sebagai golongan liberal ? "Ini adalah soalan yang diajukan oleh seorang sahabat kepada aku baru-baru ini. Dia menyambung persoalannya lagi. "kau tidak takut akan dianggap liberal kerana kau membaca benda yang ditulis oleh orang yang dianggap liberal ? Orang yang liberal ni sesat ka ? "
"Macam mana kita mahu tahu dia tu liberal atau sesat kalau kita tidak baca ?" soalannya aku jawab dengan soalan.Bagi aku orang yang membaca adalah orang yang beruntung kerana dia akan megetahui banyak benda baru. Kalau ada benda yang kita tidak paham semasa pembacaan kita, kita akan mencari jawapannya melalui sumber-sumber yang lain menyebabkan kita bukan hanya menjumpai jawapan kepada soalan kita tadi tetapi kita juga menemukan soalan baru yang menyebabkan kita terpaksa mencari lagi jawapan.
Sebagai perumpamaan, apabila kita ingin mengetahui mengenai buah oren,kita akan mencari bentuknya,kemudian kita perlu mengetahui warnanya dan kemudian rasanya.Sepanjang pencarian kita, kita juga akan menemui pelbagai resepi yang berkaitan dengan buah oren. Itu lah ada yang mengatakan 
"semakin banyak yang dibaca,semakin banyak yang tidak diketahui"
Sedang surah pertama yang dituruunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah surah al-Alaq ayat 1-5 yang bermaksud :
" Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),(1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku (2). Bacalah dan Tuhanmu Yang maha pemurah (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan (4) Dai mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (5)."
Melalui ini juga kita mengetahui betapa pentingnya untuk kita membaca dan menuntut ilmu sehingga menjadi fardhu yang wajib ke atas tiap-tiap orang Islam. Membaca pastinya akan membuat  kita lebih berfikir mengenai diri kita,bangsa kita,negara kita, komuniti kita, agama kita dan akhirnya mengenai dunia kita.

Buya Hamka



Dalam beberapa minggu ini, hari aku di hiasi oleh cerita-cerita Buya Hamka yang sangat menarik.Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka lahir pada 17 Februari 1908 di Minangkabau,Sumatera. Ia lahir sebagai anak pertama dari tujuh orang bersaudara dan dibesarkan dalam keluarga yang taat melaksanakan ajaran agama Islam. Ayahnya bernama Abdul Karim Amrullah, ulama pembaru Islam di Minangkabau yang akrab dipanggil dengan sebutan Haji Rasul, sementara ibunya, yakni Sitti Shafiyah, berasal dari keturunan seniman di Minangkabau.

Aku mula mencari mengenai Buya Hamka setelah aku menonton filem Sang Pencerah yang menceritakan bagaimana ajaran Muhammadiyah diwujudkan di Indonesia dan  penentangan yang harus mereka hadapi sehingga mereka berjaya memperkenalkan Islam yang sebenarnya kepada rakyat Indonesia pada ketika itu dan Buya Hamka merupakan salah satu pendakwah yang aktif dalam ajaran Muhammadiyah.

Apa yang menarik aku untuk mencari mengenai beliau adalah kerana cara dan pendekatan beliau untuk memperkenalkan Islam yang sebenarnya kepada rakyat Indonesia ketika itu yang aku rasakan sangat halus.Beliau bukan sahaja pendakwah malahan sasterawan yang menulis banyak buku yang terkenal.

Antara karya beliau yang dikenali ialah novel Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Vam Der Wijck. Aku telah memasang cita-cita untuk membaca dan berjinak-jinak dengan penulisan beliau yang sangat halus tetapi berkesan.
Di Malaysia seendiri, telah banyak ceramah dan forum yang membincangkan mengenai ketokohan Buya Hamka dalam menyampaikan risalah Islam









Genius VS Rajin


"Seseorang yang pandai kalau malas akan jadi bodoh akhirnya."
"Orang yang bodoh kalau rajin akan jadi pandai akhirnya."
Kata-kata yang sampai sekarang aku masih pegang. Aku dilahirkan bukan sebagai seorang yang genius.Tidak diberikan keistimewaan oleh Allah untuk menjadi seorang yang genius yang mampu untuk memahami sesuatu perkara terutama dalam pelajaran dengan sekali baca sahaja.Aku perlu lebih dari sekali pembacaan.
Ramai yang beranggapan orang yang pandai adalah orang yang genius.Tapi bagi aku sendiri, aku boleh mendapat keputusan yang baik dalam pelajaran adalah kerana aku rajin dan sudah tentu kerana pertolongan Allah .Aku 'terpaksa' rajin kerana akau tahu kalau aku tidak rajin,aku akan ketinggalan dan aku akan menghadapi masalah.
Ada yang merasakan dia sudah cukup rajin tetapi masih belum mendapat keputusan yang diinginkan. Aku ada seorang kawan yang menghadapi masalah ini dan aku hanya mampu berkata
 " mungin bukan sekarang. Buat sahaja yang termampu nanti pasti ada balasan daripadaNya"
Kadang menjadi rajin membuat kita sangat penat sehingga kadang terasa mahu berhenti.Di sini lah perlunya Tuhan, keluarga dan mereka-mereka yang selalu menjadi tulang belakang kita.

Teruskan berusaha menjadi rajin.Pepatah Melayu ada mengatakan
"Belakang parang kalau diasah akhirnya akan tajam juga akhirnya"




Perubahan


" Perlukah aku berubah ? "
" Untuk apa aku berubah ? "
" Bagaimana aku hendak berubah ? "
" Mampukah aku berubah ? "

Perubahan diambil daripada perkataan ubah yang membawa maksud mengubahsuaikan menjadikan sesuatu berubah dan sesuai dengan kehendak. Perubahan membawa seseorang itu menjadi lebih baik atau lebih jahat bergantung kepada niat untuk berubah.

Seseorang yang ingin berubah menjadi lebih baik merupakan orang yang sangat kuat kerana dia terpaksa melawan bisikan jahat dan jelingan tajam daripada manusia yang tidak ingin lihat dia menjadi lebih baik. Namun jangan pernah berhenti berusaha untuk berubah.

Tidak semua mampu untuk berubah menjadi baik secara total.Kadang ada yang kecundang di tengah jalan kerana tidak tahan dengan kuasa jahat atau mungkin dia telah penat. Jangan pernah melabel orang lain lebih rendah daripada kita kerana di sisi Tuhan kita adalah sama dan mungkin mereka yang kita anggap rendah akan berada lebih tinggi di sisiNya kerana semua orang punya waktu dan kesempatan untuk berubah.

Jangan pernah merasakan diri sudah cukup baik dan sempurna sehingga merasakan dirinya tidak perlu akan perubahan. Seseorang yang baik tidak akan mengaku dia baik bukan ?

" Manusia yang enggan berubah dan takut hendak berubah kerana satu risiko yang belum pasti asaa ialah manusia yang dungu. Seseorang yang takut hendak belajar ke peringkat lebih tinggi kerana bimbang dianggap sombong adalah orang yang membodohkan dirinya. "
-Dr. Maza-







sahabat

Apabila kita terpaksa meninggalkan keluarga kerana memenuhi tuntutan untuk menyambung pengajian,terutama sekali mereka yang pergi menuntut ilmu di tempat yang jauh menyebabkan dia sukar untuk pulang keadaan ini lebih terasa bagi mereka yang pertama kali berpisah jauh dengan keluarga.
Antara soalan yang sering kita persoalkan
 "Apakah aku mampu ?"
"Apakah aku sudah cukup kuat ?"
"Apakah nanti aku akan baik-baik saja ?"
"Siapa yang akan jaga aku di sana ?"
Kita sering bermonolog sendiri mengenai pelbagai kemungkinan yang bakal kita hadapi di tempat orang sehingga kadang kita menjadi sangat takut untuk memulakan langkah itu kerana seakan ada suara yang mengatakan semuanya akan menjadi susah, perih dan payah.  Kita jadi takut.
Satu perkara yang sangat indah yang aku temui apabila terpaksa berpisah dengan keluarga tercinta ialah makna sebuah persahabatan. Ramai yang memberi definisi sahabat tapi bagi aku sahabat ialah apabila aku merasakan keberadaan mereka walaupun bukan di depan mata. Dapat bercerita kepada mereka dalam semua perkara.
Seorang sahabat tidak akan megiakan sahaja semua kata sahabatnya. Akan wujud perselisihan pendapat tetapi tidak akan menolak fakta bahawa kami masih sahabat.Sahabat yang mudah merajuk kerana terasa hati dengan sahabatnya belum layak digelar sahabat.Sahabat yang baik adalah apabila mereka menerima kita dari pelbagai sisi sama ada yang putih mahupun yang hitam. 
SAHABAT
Kadang mereka menjadi ibu yang sentiasa mengambil berat akan anaknya
Kadang mereka menjadi bapa yang sentiasa memberikan nasihat
Kadang mereka menjadi jiran yang sangat prihatin
Kadang mereka menjadi guru yang sedia berkhidmat memberikan tunjuk ajar
Kadang mereka menjadi kawan untuk berkongsi segala cerita
Kadang mereka menjadi orang asing yang penuh dengan misteri

Perantau


Merantaulah...Agar kamu tahu bagaimana rasanya rindu dan ke mana kau harus pulang
Merantaulah...Engkau akan tahu betapa berharganya waktu bersama keluarga
Merantaulah...Engkau akan mengerti alasan kenapa kau harus merantau
Merataulah...Akan tumbuh cinta yang tidak pernah hadir sebelumnya pada kampung halamanmu, pada mereka yang kau tinggalkan
Merantaulah...Engkau akan menghargai tiap detik waktu yang kau lalui bersama ibu, bapak, adik, kakak ketika kamu pulang ke rumah
Merantaulah...Engkau akan lebih paham kenapa orang tuamu berat melepasmu pergi jauh
Merantaulah...Engkau akan lebih mengerti erti sebuah perpisahan
Merantaulah...Semakin jauh tanah rantauan, semakin jarang pulang, semakin betapa berharganya pulang 

Peperiksaan akhir yang bakal menjelang tidak lama lagi menyedarkan aku bahawa tidak lama lagi pengajian aku di UKM sebagai pelajar tahun 1 akan tamat tidak lama lagi.Sungguh masa berlalu tanpa boleh dihentikan. Dia tidak akan menunggu kita malahan terus berpusing menggantikan hari demi hari sama ada kita sedar mahupun tidak.

Hidup di perantauan menyebabkan kita akan lebih mengenali diri kita yang sebenarnya.Betapa kuat sebenarnya kita. Melakukan perkara yang selama ini tidak pernah kita bayangkan. Berusaha mencari ikhtiar untuk satu-satu masalah.Sungguh dugaan itu besar kita akan mencari solusinya.
 

Hidup merantau di negeri orang,
Penuh dengan pancarobah
Walau kenapa,bagaimana dan untuk siapa
teruskan merantau
Mencari sesuatu yang tidak kau temui di kampung halamanmu
Untuk dijadikan bekalmemenuhi hati
Meski berat, payah dan perih
teruskan merantau

Sunday 25 May 2014

Pilihan



Mana yang lebih baik,Tiada pilihan atau punya terlalu banyak pilihan ?
Tapi yang pasti kedua-duanya membuatkan kepala berpusing 360 darjah.
Tiada pilihan akan menyebabkan seseorang itu pasrah.Pasrah kepada keadaan kerana tiada apa lagi yang boleh diusahakan.
Kalau punya pilihan yang banyak pula akan menyebabkan kita berasa takut untuk memilih.Takut nanti pilihan yang dipilih salah hingga akhirnya menyesal, menangis dan merana.

Aku berada dalam situasi kedua yang punya banyak pilihan. Apakah nikmat atau ujian ?
Aku tidak pasti.Tapi yang pasti semuanya adalah hikmah rahmat Allah.
Aku perlu memilih dan pilihan itu akan aku tanam dan semai sehingga ia membuahkan buah yang manis.
Kalaupun masam akan aku buatkan ianya jeruk.
Kalau buruk dek dimakan ulat ?
aarrgghh aku tidak tahu dan tidak mahu fikir dahulu.
Bak kata pensyarah aku
"kita sibuk memikirkan masa hadapan walhal yang sekarang ini lebih penting.Yang sekarang ini yang menentukan masa hadapan."

Kini aku hanya berdoa semoga pilihan yang aku buat ini adalah yang terbaik bagi diri aku.
Semoga tidak ada penyesalan di kemudian hari.
Walaupun ada ianya tidak akan menghilangkan senyumanku untuk selama-lamanya.
Semoga aku kuat.
Aku mesti kuat.












Anak kecil


Tempat : surau Suria KLCC
Masa : Solat Zohor
Situasi : kanak-kanak sekolah rendah hendak menunaikan solat zohor

"Alamak ramainya orang". si tudung putih berkata.
" Takpe kita tunggu luar dulu.Dulukan yang tua. Hormati yang tua". Jawab si Pengawas

Aku yang berada di lokasi kejadian sangat terharu apabila mendengarkan butir-butir kata anak-anak ini.
Siapa kata anak zaman sekarang makin kurang ajar ?
Ini buktinya apabila aku tahu apa yang dikatakan anak kecil itu adalah sesuatu yang paling ikhlas.

Zaman sudah berubah dan banyak perkara yang akan berubah mengikut arus perubahan.Tapi satu benda yang aku rasa tidak patut hilang ialah adab sopan masyarakat kita. Maksud beradab juga luas dan mengikut acuan pengertian masing-masing.Timbanglah sendiri.


pencorak masa depan







first impression



Pakai dress paras lutut
rambut dye merah
ambil wudhu
tunggu turn nak solat

Kalau kalian berada dan nampak situasi macam ni ? apa first impression kalian ?
Aku punya jawapan sendiri dan mungkin kalian ada jawapan sendiri.
Setelah aku nilai,timbang dan kira, aku setuju bahawa first impression kita terhadap sesuatu benda atau perkara mencerminkan hati,ilmu dan pengalaman kita.

Setuju ?
Aku sangat berbesar hati kalau ada yang mahu 'comment'
Aku punya hujah dan hujah aku ni hanya daripada pandangan dan perasaan aku sendiri.Belum melibatkan eksperimen dan thesis yang mengeluarkan data yang boleh dipercayai

'Muallaf'. tu la jawapan aku untuk soalan di atas. First impression (Fi) aku cakap perempuan 'seksi' yang memakai dress hijau itu adalah muallaf yang baru belajar mengenal Islam.
Dan aku suka Fi aku tu.Atau mungkin dia memang Islam tetapi baru hendak mempraktikkan Islamnya.Dan dia mulakan dengan solat. Alhamdulillah

Akan ada banyak Fi walaupun kita berada pada situasi yang sama.
PASAR MALAM
mungkin ada yang tidak suka tempat itu kerana bising tapi ada pula yang suka dan menganggap tempat itu 'hidup'.Lihat hanya dengan satu perkataan akan membawa 10000001 macam Fi.

Apa yang penting bagi aku dalam hidup ini ialah jangan suka melabel dan memandang serong terhadap orang lain.Kita tidak tahu keseluruhan cerita dengan hanya melihat kulit buku.
Jangan merasa sentiasa berada di pihak yang benar sehingga kita memekakkan telinga dan membutakan mata dan melihat sesuatu yang contra itu jelek dan jijik.






Wednesday 21 May 2014

Keputusan



Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..
Akhirnya keputusan yang ditunggu-tunggu akhirnya dapat juga.Keputusan daripada Interview untuk mengikuti Exchange Programme akhirnya telah keluar dan aku bersyukur kerana permohonan aku telah diterima.

Universitas Indonesia yang menjadi pilihan pertama aku dan syukur kerana rezeki aku untuk pergi ke sana. Insya Allah aku akan ke sana bersama 4 orang kakak- kakak tahun 2.  ( aku ja budak tahun 1 )
Tidak sangka aku akan diterima kerana melihatkan persaingan yang terlalu ramai dan pemilihan tempat yang kurang tepat (ramai sangat yang minta Indonesia) mnyebabkan aku kurang yakin akan diteriam.

Saat aku tahu 2 sahabat baik aku akan perg ke Netherland kerana telah dimaklumkan lebih awal menyebabkan aku agak sedih.Mungkin bukan rezeki aku pada tahun ini tetapi siapa tahu perancangan Allah.Dia adalah sebaik-baik perancang.

Aku dijangka akan pergi ke sana pada pertengahan bulan 8 dan akan menghabiskan satu semester di sana.Terlalu banyak yang perlu disiapkan sebelum berangkat ke sana dari segi tempat tinggal di sana, subjek yang akan di ambil dan juga perbelanjaan di sana.Semuanya harus diuruskan.

Aku ingin menimba dan mendapatkan sebanyak mungkin pengalaman di Indonesia.Melihat negara orang akan membuat kita lebih kenal dengan dunia. Berkelana di negeri orang untuk memberikan cerita kepada yang lain.


Aku ingin kembara di orang,
Mencari sesuatau yang tidak ada di sini,
Belajar dari homosapien yang asing,
Bercerita dengan homosapien yang lain,
Akan aku tuliskan cerita ini,
Cerita yang aku karang dari langkahku sendiri,
Semoga aku bisa memberi daripada pengalaman ini.


Gelandangan


Terasa ngilu hati ini tika melihat ramainya mereka-mereka yang tidak bernasib baik tidur di kaki lima rumah kedai.Mereka tidak mempunyai tempat berteduh.Merekalah GELANDANGAN.

 Bukan mereka tidak mempunyai pekerjaan cuma kos hidup yang tinggi menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyewa bilik apatah lagi sebuah rumah yang merupakan keperluan asas kepada manusia.
Aku mengikuti program gelandangan yang dianjurkan oleh Kelab Ekonomi Fakulti Ekonomi Dan Pengurusan.Kami menjalankan aktiviti ini di sekitar Sogo Kuala Lumpur dengan memberikan sedikit makanan dan pakaian.

Aku sempat berbual dengan beberapa orang gelandangan. Ada satu keluarga yang merantau dari Sabah semata-mata untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur yang katanya memberikan gaji yang lebih lumayan berbanding di Sabah.Mak cik itu bekerja sebagai seorang pembantu rumah di Serdang. 

Sedih apabila melihat ada keluarga ini datang bersama dengan anak kecil yang aku yakin tidak bersekolah.Walhal anak seusia itu keperluan mereka seperti tempat tinggal, pakaian dan persekolahan perlulah dipenuhi. Apa akan jadi kepada masa hadapan anak-anak ini ? Bagaiman mereka ingin mengubah kehidupan mereka ? itu yang bermain di dalam kotak fikiranku sedang aku melihat anak-anak ini berlari-lari sambil menunggu untuk diberikan makanan sedangkan pada waktu seperti itu anak-anak yang lain telah dibuai mimpi dengan perut yang telah diisi.

 Kaki lima itu merupakan rumah dan taman permainan mereka untuk bermain bersama anak-anak yang lain.Jumlah kanak-kanak yang ramai menyebabkan anak-anak ini seperti tidak mempunyai masalah.Bermain dan ketawa seperti anak-anak yang lebih bernasib baik daripada mereka.

Tidak kurang juga warga emas yang menurut aku tidak selayaknya berada di tempat seperti itu. Mungkin mereka sememangnya tidak punya keluarga atau mungkin keluarga mereka telah membuang mereka.Walau apapun alasannya aku merasakan warga tua ini perlu ditempatkan di tempat yang lebih baik di mana ada yang menjaga makan minum dan pakai mereka.

Aku yang hadir cuma sebentar sudah dapat melihat kepayahan mereka.Apa lagi mereka yang terpaksa mengharunginya setiap hari.Kalau hari hujan bagaimana ? Tidur di dalam kesejukan malam, Tidurnya tidak lena kerana katilnya kotak yang keras serta hanya lengan yang dijadikan bantal.

Semoga akan ada sinar harapan dalam hidup mereka.Semoga hari esok akan memberikan mereka kehidupan yang lebih baik. Semoga akan ramai lagi yang ingin membantu nasib gelandangan ini dan semoga mereka tidak putus harapan untuk merubah hidup mereka kepada yang lebih baik.

Ada lantai dan kotak sudah cukup sebagai tempat beradu

Semoga esok memberikan hari yang lebih baik :)




Monday 19 May 2014

Guru



16 Mei merupakan hari istimewa kepada semua warga pendidik di seluruh negara.Tidak kiralah yang dipanggil cikgu, teacher, ustaz/usatazah, madam/ sir, Laoshi.. semuanya membawa makna dan merujuk orang yang sama iaitu GURU.

Sepanjang aku belajar selama 14 tahun, terlalu ramai insan yang mencurahkan ilmunya kapadaku. Dari aku berusia 6 tahun hingga lah sekarang.Ini lah tempat aku menadah,menggali,dan menimba segala macam ilmu.

Tadika Kg.Contoh 
Sekolah Kebangsaan Contoh
Sekolah Agama Kg.Contoh
 Sekolah Menengah Kebangsaan Putatan
Sekolah Menengah Sains Sabah,
Kolej Matrikulasi Labuan 
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mudah seorang itu menjadi insan yang bergelar guru. Kedua-dua kakakku juga berkhidmat sebagai  guru. Perkerjaan yang sangat mulia tetapi perlu menggalas tugas dan tanggungjawab yang sangat penting. Orang yang bertanggungjawab mencorak anak bangsa. Berbakti untuk melahirkan tokoh negara pada masa hadapan, insan yang tidak jemu untuk memberi walaupun kadang terasa payah.

TERIMA KASIH untuk segala ilmu,nasihat dan pedoman yang diberikan.
MINTA MAAF untuk kerja yang tidak siap, bising, dan terkasar bahasa.

SEMOGA TUHAN
membalas segala ilmu yang telah diberikan,
mendatangkan kebaikan dari setiap titik peluh keringatmu,
menghadiahkan bahagia dari setiap malam kau bersengkang mata untuk anak muridmu,
menghadirkan senyuman di sebalik air matamu yang mengalir kerana tingkah muridmu,
menerbitkan keceriaan apabila melihat kau melihat anak didikmu berjaya.










Mamaku Sayang

Mamaku merupakan wanita yang paling berpengaruh dalam hidup aku. Dia boleh jadi ibu, jadi guru malah dia juga sering menjadi kawan untuk aku meluah. Hahah tapi belakangan ini dia yang sering mengadu dengan aku.( mungkin dia yang lebih rindu dengan anaknya ni :) )
Dalam banyak-banyak hal, ada satu benda yang aku impress dengan mamaku. Dia mempunyai kebolehan untuk mengingat di mana sesuatu benda itu diletakkan. Bermula dari stoking abangku hingga lah kepada sekecil-kecil benda.Semuanya dia tahu.Dia lah SuperMama. Dia seorang yang sangat mementingkan kebersihan sehingga walaupun jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi, dia pergi membersihkan dapur kerana tidak dapat tidur katanya.

Aku tinggal di asrama sejak aku tingkatan 4. Aku berat hati untuk masuk ke sekolah asrama penuh itu kerana aku takut nanti bapa dan mamaku akan bersendirian di rumah.Aku tidak tahu kenapa tapi itu antara perkara besar yang aku pertimbangkan sebelum aku menerima tawaran belajar di sekolah asrama penuh.Mungkin kerana aku anak bongsu menyebabkan aku banyak menghabiskan masaku bersama mereka berbanding abang dan kakakku yang berada jauh di negeri orang untuk menuntut ilmu.


Kini aku pula berada jauh di negeri orang menyebabkan aku akan menghargai setiap masa yang aku ada ketika pulang bercuti di rumah. Aku tidur dengan mamaku dan kami pernah stalk facebook orang lain sebab tak dapat tidur malam.Hahahah satu kenangan yang manis !!!
Rasa rindu hanya dapat ditebus melalui panggilan telefon dan selalunya kami akan bercerita sehingga berjam-jam lamanya dari kepenatanku belajar sehinggalah kepada hal mamaku dengan kawan masjidnya.

Semoga Allah akan sentiasa merahmati mamaku.Moga dia sentiasa berada di bawah lembayung rahmatNya. Semoga aku akan menjadi anak yang berbakti kepada kedua orang tuaku.Semoga keluarga aku sentiasa bersatu walau dalam keadaan apa sekalipun.Semoga kita boleh berjumpa dan bersatu di syurga nanti.
~InsyaAllah ~

Permaisuri bersama puter-puterinya



Thursday 15 May 2014

Biblioholisme


Biblioholisme adalah suatu fenomena kecanduan luar biasa terhadap buku,bahan bacaan dan dunianya.Manakala pencintanya disebut Biblioholis. Ada juga yang menamakan mereka sebagai Biblioholic(seperti alcoholic untuk penagih alkohol).
Aku ada membaca buku yang ditulis oleh Shahrom TM Sulaiman yang bertajuk Biblioholisme Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya yang mana di buku ini dia menceritakan ciri-ciri Biblioholis.Selain itu terdapat juga di dalam buku ini yang menceritakan beberapa watak yang dikatakan sebagai Biblioholis dan antaranya ialah Albert Einstein. 

Aku juga seorang yang suka membaca dan semua itu menjadi lebih "teruk" semenjak aku masuk ke UKM kerana aku dikelilingi oleh mereka-mereka yang juga sekepala dengan aku.Pandangan aku sendiri mengenai membaca ialah mereka yang membaca akan membuka suatu dunia baru yang di dalamnya terdapat pelbagai kisah yang mugkin tidak pernah terbayang oleh minda.Cerita yang akan menyentuh hati dan fikiran.
Aku tidak pasti adakah aku juga tergolong dalam mereka yang digelar Biblioholis.

Antara penulis buku yang aku suka karyanya ialah Mitch Albom.Buku pertamanya yang aku baca ialah Tuesday with Morrie.Paulo Coelho yang menulis The Alchemist ( nanti akan aku buat review pada entry yang lain) dan juga Andrea Hirata yang menulis Laskar Pelangi.Aku juga mulai suka akan buku tulisan Pahrol Mohd Juoi.Kini aku sedang mencari buku-buku yang dikarang oleh Buya Hamka tetapi agak sukar untuk mendapatkannya kerana aku mahu baca yang bukunya dalam Bahasa Indonesia.

Pemilihan buku aku mungkin bukanlah buku 'serius' tapi buku yang aku baca bukanlah novel picisan seperti yang aku tulis dalam entry sebelum ni.InsyaAllah suatu masa aku akan bergerak ke buku-buku yang lebih serius seperti Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang.Buku yang memerlukan aku untuk berfikir dan mencari lebih dalam.


"Dunia pencinta buku berbeza dengan dunia pembaca biasa.
Mereka bukan setakat membaca tetapi 'lahap membaca'
bahkan jauh lebih ekstrem sudah 'terhumban' ke dalam dunia 'ekstasi membaca'.
Dalam diri mereka terkumpul harmonis sifat rakus membaca,
tamak mengumpul buku,gila membeli buku
dan semua ini menempatkan mereka dalam sebuah dunia yang cukup mempesonakan
yang dikenal sebagai BIBLIOHOLISME"

Sunday 11 May 2014

Ekonomi



Siapa yang tidak punya impian? sungguh dia lah orang yang paling kasihan kerana dia tidak dapat mambayangkan perkara terindah yang mungkin boleh terjadi kepadanya meskipun impian itu hanya tinggal impian dan untuk menjadi realiti itu adalah mustahil.

Bagi aku yang sememangnya seorang yang suka mencipta impian,aku merasakan dengan impian kita akan mula berfikir cara untuk merealisasikan impian-impian itu.Entah dari mana tapi aku mempunyai impian untuk menjadi orang yang mampu memberi kepada yang lain.Aku ingin memberi sesuatu kepada seseorang walaupun sesuatu itu kecil tetapi boleh memberikan sedikit kegembiraan di wajah seseorang itu.

Impian aku untuk membuat program yang telah lama aku inginkan.Wacana ilmu berkaitan Ekonomi yang sememangnya diperlukan oleh mahasiswa Ekonomi.Mahasiswa membincangkan Ekonomi semasa dan bukan hanya menghafal teori dari buku tetapi tidak tahu di mana rasionalnya ilmu dari buku itu.
Bukan juga ceramah mengenai percintaan dan konsert artis semata-semata.
Tetapi ironisnya ketika itulah semua kerusi penuh malah ada yang sanggup duduk di lantai !

Bagi aku mahasiswa Ekonomi mempunyai suatu kelebihan berbanding mahasiswa dari fakulti lain.Ekonomi merupakan benda yang tidak statik dan sangat dinamik perubahannya.Tidak seperti teori sains yang telah wujud sejak dulu lagi dan undang-undang yang tidak boleh berubah.

Oleh itu banyak perkara yang boleh diperdebatkan dan dibincagkan oleh mahasiswa Ekonomi namun menurut pandangan aku mereka kurang berminat untuk membincangkan isu-isu ini.

Isu GST yang masih ramai tidak faham meskipun dia seorang pelajar Ekonomi.Seharusnya mahasiswa yang perlu memahami dan mendalami perkara-perkara seperti ini agar ilmu yang diperoleh di menara gading dapat disampaikan kepada masyarakat.Bukan itukah sememangnya tanggugjawab insan bergelar mahasiswa? 

Ada juga yang telah membuat namun tidak memberi impak yang besar.Tidak tahu di mana silapnya.Adakah sikap "ignorance" mahasiswa itu sendiri atau publisiti yang tidak kuat menyebabkan ramai yang tidak sedar akan wujudnya wacana ilmu seperti ini.Oleh itu,aku ingin membuat sesuatu yang dapat menarik ramai peserta dan akhirnya ianya menjadi suatu budaya di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan untuk mahasiswa berbincang mengenai ekonomi ketika duduk melepak bersama rakan-rakan.





Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur



Hari yang dinantikan telah tiba.Untuk pergi memburu buku-buku yang hendak dijadikan koleksi.Kami pergi berempat dan masing-masing punya destinasi berlainan.

Kali ini aku dikenalkan dengan buku-buku yang dikeluarkan olah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).Aku beruntung kerana kawan aku mendapat promosi kerana dia merupakan pelanggan setia ITBM.Kami mendapat potongan harga sebanyak 50% bagi setiap buku.

Kami sampai d PWTC pada pukul 11 dan pulang kira-kira pukul 4.30.Banyak yang kami borong pada hari itu.Aku sendiri membeli 7 buku. Aku suka apabila dikelilingi oleh mereka-mereka yang turut teruja dan mempunyai minat yang sama untuk membaca walaupun masing-masing mempunyai cita rasa yang berlainan dalam pemilihan buku.

Kesesakan manusia yang mengunjungi PBAKL membuktikan sebenarnya rakyat Malaysia mempunyai kessedaran membaca walaupun mungkin bahan bacaan itu hanya lah sebuah komik.

Kalau hendak diturutkan nafsu memang semuanya mahu dibeli tetapi kerana poket seperti menjerit apabila isinya makin kurang menyebabkan aku hanya membeli apa yang menurutku yang "terbaik". InsyaAllah tahun hadapan kalau umur panjang dan diberikan rezeki akan aku berkunjung lagi ke lautan buku ini sehingga aku lemas di dalamnya.


Antara koleksi 3 sekawan

Semoga tidak hanya menjadi perhiasan di rak buku

Sempat bertemu dengan empunya cerita

Friday 9 May 2014

Sang Pemimpi



Sang Pemimpi.Tajuk novel Indonesia yang ditulis oleh saudara Andrea Hirata.Merupakan sambungan novel Laskar Pelangi.Novel yang aku baca ini merupakan novel dalam bahasa Indonesia yang semestinya lebih puitis berbanding novel yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.Novel yang telah difilemkan dan filemnya telah berulang kali aku tonton.

Siapa kata kita hanya temukan cinta dalam novel? Sang Pemimpi bukan novel picisan .Kerana bagi aku yang membacanya,aku mampu menangis dan tertawa sendiri kerana isi novelnya yang dekat di hati.Tertawa bila membaca sikap si Jimron yang terlalu fanatik terhadap kuda sehingga dari suara kuda saja dia sudah tahu jenis kuda itu.Mengalirkan air mata bila terbayangkan jerih payah si ibu yang berusaha menyiapkan diri si ayah sekemas mungin dan setiap kayuhan si ayah di bawah terik mentari untuk pergi mengambil 
'repot card' si anak.

Aku temukan motivasi untuk mengubah kehidupan.
Aku temukan rahmat kasih Tuhan.
Aku temukan pengorbanan seorang ayah.
Aku temukan erti persahabatan sebenar.
Aku temukan kewajipan guru yang terlalu besar.
Aku juga temukan cinta.
Semuanya dikarang dengan indah dalam novel ini.


Tidak semua penulis mampu merangkumkan semua persoalan hidup yang lazim dalam bentuk penulisan yang mudah untuk dibaca dan difahami.Dan yang lebih penting lagi adalah untuk membuatkan hati si pembaca tercuit dengan setiap baris ayat yang ditulis.Namun itu lah yang aku temui dalam novel ini.Sungguh indah penceritaannya.Ia mampu mendorong sesiapa sahaja untuk tidak takut bermimpi.
Kerana mimpi mampu menjadi titik permulaan untuk kita berusaha mengejar yang pasti.

"Kita hanya punya mimpi kawan.Tanpa mimpi kita mati"

"Bermimpilah kamu setinggi langit.Nescaya Tuhan akan memeluk mimpi-mimpimu"

"Sekarang aku masih seekor pungguk buta dan mimpi-mimpi itu masih rembulan,namun semeriah dini hari ini,mimpi-mimpi itu masih bercahaya dalam dadaku"


Jangan pernah takut untuk bermimpi
Perjalanan 3 Sahabat untuk meraih mimpi yang dicipta
  

exchange programme



"Fatimah,please introduce yourself".. itu lah soalan pertama yang diajukan oleh interviewer..ini adalah kali pertama aku di interview secara formal.interview ni adalah saringan kepada mereka-mereka yang telah memohon untuk membuat student exchange programme.

Student exchange programme.Aku mencuba nasib untuk mengikuti program ini adalah kerana aku ingin mencuba berdiri sendiri di tempat yang orang.Aku ingin lihat apakah mampu untuk aku survive di tempat orang.

Universiti yang menjadi pilihan pertama aku adalah Universitas Indonesia (UI).Universiti nombor 1 di Indonesia.Aku ingin melihat sendiri keunikan negara Indonesia di samping ingin melihat bagaimana corak pembelajaran mahasiswa di sana.

Jumlah yang memohon adalah lebih kurang 80 orang dan hanya 33 orang sahaja yang akan terpilih untuk dihantar menyertai program ini.InsyaAllah kalau ada rexeki dapat la aku pijak tanah Indonesia.kalau tiada rezeki tahun depan boleh cuba lagi kan.

Berkelanalah wahai diri,
Melihat yang baru di balik gunung itu
Mencari yang baru yang tiada di sini
Penuhi dadamu dengan ilmu hakiki
Nanti kau akan pulang membawa fikiran yang berisi
Semoga nanti kau menjadi orang yang memberi
Menjadi mereka yang akan membaiki

Penerangan yang menguatkan lagi hati untuk mencuba
Tidak salah mencuba kerana tiada siapa tahu apa akan terjadi esok.


Sunday 4 May 2014

Anugerah

Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah..itu saja yang aku ucapkan di dalam hati apabila melihat keputusan peperiksaan akhir semester 1 yang lalu..Aku berjaya mendapat keputusan yang menyenangkan malah lebih daripada jangkaanku.

Aku menulis entry ini untuk menceritakan perjalanan di sebalik kemanisan yang aku rasai , tangisan sebelum aku boleh tersenyum akhirnya.Aku sangat setuju dengan pepatah
 "tidak susah untuk susah dan tidak senang untuk senang".

Disebalik kejayaan ini berdirinya insan-insan yang banyak membantu aku.mereka yang menasihati aku di kala aku mulai malas dan bosan.Mereka yang mendengar di kala aku menangis kerana lelah dan tidak lupa mereka yang sentiasa menghadirkan aku dalam doa mereka.Untuk itu aku ucapkan terima kasih dan semoga yang maha kuasa membalas kebaikan anda semua melebihi apa yang telah anda lakukan.

Cuma satu harapan aku di sebalik pinjaman yang diberikan kepadaku ini..Aku ingin memberi kembali kepada mereka.Mereka yang banyak membantu aku dan aku ingin memberikan sesuatu kepada masyarakat.Ingin memberi sesuatu agar suatu hari nanti apabila aku ditanya
" kemana kau taburkan segala ilmu yang telah kau dapat ?"
 Aku boleh menjawab, 
"Lihat,itu di sana mereka yang sedang tersenyum itu.Mereka bahagia kerana aku pernah memberikan sesuatu kepada mereka "
 InsyaAllah...


"Allah tidak lihat hasilnya tapi Dia lihat usaha kita"

"Allah tidak akan tanya apakah yang aku usahakan ini akan berjaya? tetapi Dia akan tanya apakah yang telah aku usahakan untuk berjaya"
 
Syukur kerana diberikan peluang untuk aku merasa kemanisan disebalik kepayahan itu.
Menuntut ilmu itu adalah tanggungjawab